CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 4, 2009

Keseronokan Percutian di Malaysia

-Pelancong diberikan layanan istimewa umpama seorang raja-

Sememangnya tidak dapat dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai banyak tempat percutian yang menarik. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Negara kita masih menjadi tumpuan para pelancong untuk bercuti walaupun ekonomi dunia masa kini masih dalam keadaan tidak menentu. Antara tempat menarik yang yang sering mendapat tempat dan perhatian para pelancong di dalam dan luar Negara ialah Melaka, Pulau Langkawi, Kuala Lumpur, Johoa Bahru, Pulau Redang dan beberapa tempat lagi.

Percutian bukan sahaja untuk merehatkan diri, tetapi juga sebagai salah satu cara untuk berhibur setelah penat bekerja. Selain itu, ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kekeluargaan apabila mereka pergi bercuti bersama. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang percutian akan mengeratkankan lagi hubungan sesama mereka.

Di Malaysia, kerajaan telah melakukan pelbagai cara untuk menggalakkan rakyatnya bercuti di dalam Negara. Antara langkah yang diambil ialah mengadakan kempen bercuti di Malaysia seperti “ Cuti-Cuti Malaysia”. Setiap tahun, kerajaan akan mengadakan promosi Tahun Melawat Malaysia. Tujuan ini adalah untuk menarik lebih ramai minat pelancong disamping mempromosikan Malaysia di mata dunia. Malaysia bukan sahaja mempromosikan tempat percutian yang menarik, tetapi juga budaya dan masyarakat yang berbilang kaum.

Bagi rakyat Malaysia, mereka digalakkan untuk bercuti di Negara sendiri. Ianya bukan sahaja menjimatkan, malahan juga tahap keselamatan adalah terjamin. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak pelancongan untuk menarik minat para pelancong tempatan dan luar Negara untuk berkunjung ke destinasi mereka. Antara memberikan servis yang bagus, tawaran harga yang memuaskan, kemudahan yang lengkap serta beberapa tawaran yang menakjubkan. Terdapat juga promosi yang diadakan oleh pihak pentadbiran negeri untuk menarik minat pelancong ke Negeri mereka seperti usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri Melaka.

Selain itu, bagi memastikan Malaysia terus menjadi tumpuan sebagai destinasi pilihan untuk pelancong luar dan dalam Negara, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif untuk menjaga khazanah sedia ada yang mampu menarik minat pelancong. Antaranya khazanah laut, hutan dan juga beberapa spesis haiwan yang terancam. Penjagaan dan pemuliharaan adalah perlu bagi memastikan ianya tidak pupus dan terancam. Dengan kerjasama pihak kerajaan dan juga agensi-agensi yang terbabit, pelbagai uasaha telah dilakukan. Antara nya mewartakan beberapa tempat sebagai kawasan larangan bagi memastikan kawasan terbabit tidak diganggu dan ancaman terhadapan hidupan itu tidak terancam.

Selain terkenal dengan tempat percutian yang menarik, Malaysia turut dikenali sebagai Negara yang terkenal dengan adat dan budayanya yang tinggi. Adat dan budaya ini terus dipelihara bagi memastikan ianya tidak pupus ditelan zaman. Kayanya adat dan budaya di Negara ini telah mendapat perhatian pihak luar yang sememangnya kagum dengan keunikan budaya di Malaysia. Ada juga pihak dari luar yang berminat mengadakan program seperti lawatan sambil belajar ke Malaysia bagi melihat sendiri keunikan budaya dan adat di Malaysia. Selain itu, program seperti pertukaran pelajar luar ke Malaysia turut memperlihatkan betapa kagumnya mereka dengan adat dan budaya yang kita sanjung selama ini.

Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Antaranya Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, dan sebagainya. Walaupun berbeza kaum dan budaya, tetapi rakyatnya masih boleh bersatu dan hidup dengan aman tanpa sebarang sengketa. Nilai-nilai murni dan saling menghormati masih menebal dalam diri setiap rakyat. Hal ini kerana ianya telah dipupuk dan diserap dalam diri seseorang itu sejak mereka kecil lagi. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa rakyatnya boleh bersatu dalam apa jua situasi sekali pun.

Kekayaan Malaysia turut di pandang dari segi adat dan budaya yang masih menebal dalam diri para penduduknya. Adat dan budaya yang mulia masih terus diamalkan walaupun Malaysia turut membangun sejajar dengan perkembangan arus semasa. Masih terdapat rakyat dan kaum yang masih menebal lagi adat dan budaya dalam jati diri mereka. Antara adat yang yang dikagumi oleh para pelancong luar ialah adat perkahwinan. Adat ini bukan sahaja meriah kerana dihadiri oleh ramai orang, tetapi juga masih mengamalkan unsur-unsur seperti merisik, meminang dan juga adapt bersanding bagi meraikan tetamu. Selain itu, kerjasama dan semangat bersatu menguruskan majlis perkahwinan ini turut membuka mata pelancong luar bahawa penduduk di Negara ini masih menebal semangat kejiranannya walaupun adakalanya mereka dimomokkan dengan keburukan yang ada di Negara ini seperti meningginya kes ragut dan jenayah.

Bagi pelancong yang pernah hadir ke Malaysia, mereka pasti akan tersenyum apabila membicarakan mengenai keistimewaan Malaysia kepada teman-teman di Negara asal. Selain terhibur dengan percutian yang mengasyikkan dan dilayan bagaikan raja, mereka turut dapat mengenali Malaysia dengan lebih mendalam. Percutian yang singkat akan membuatkan mereka sedih untuk meninggalkan Malaysia. Namun yang pasti, tidak kira siapa pun yang memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan, pasti akan terhibur.

Bagi memastikan Malaysia terus mendapat tempat dan perhatian di mata dunia sebagai salah satu destinasi percutian di Malaysia, pihak kerajaan haruslah mengambil langkah-langkah yang wajar agar sektor pelancongan di Malaysia terus gah dan setanding dengan sektor pelancongan diluar Negara. Kekayaan bumi Malaysia bukan sahaja harus dipelihara, tetapi juga dijaga rapi agar tidak luput ditelan zaman. Begitu juga dengan adat dan budaya nya. Kerjasama semua pihak adalah perlu bagi memastikan sektor pelancongan terus maju dan turut menyumbang kepada pendapatan Negara.

Justeru itu, marilah kita semua bersatu mengekalkan kakayaan bumi Malaysia dan menjaga adat budaya yang terkenal ini tanpa mengira bangsa dan kaum. Sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan, kita haruslah bersatu dan terus mengamalkan sikap bersatu dan terus memupuk semangat saling bersatu dalam usaha menjadikan Malaysia Negara yang terkenal dalam sektor pelancongan dan destinasi percutian terbaik dunia.