CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 4, 2009

Keseronokan Percutian di Malaysia

-Pelancong diberikan layanan istimewa umpama seorang raja-

Sememangnya tidak dapat dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai banyak tempat percutian yang menarik. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Negara kita masih menjadi tumpuan para pelancong untuk bercuti walaupun ekonomi dunia masa kini masih dalam keadaan tidak menentu. Antara tempat menarik yang yang sering mendapat tempat dan perhatian para pelancong di dalam dan luar Negara ialah Melaka, Pulau Langkawi, Kuala Lumpur, Johoa Bahru, Pulau Redang dan beberapa tempat lagi.

Percutian bukan sahaja untuk merehatkan diri, tetapi juga sebagai salah satu cara untuk berhibur setelah penat bekerja. Selain itu, ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kekeluargaan apabila mereka pergi bercuti bersama. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang percutian akan mengeratkankan lagi hubungan sesama mereka.

Di Malaysia, kerajaan telah melakukan pelbagai cara untuk menggalakkan rakyatnya bercuti di dalam Negara. Antara langkah yang diambil ialah mengadakan kempen bercuti di Malaysia seperti “ Cuti-Cuti Malaysia”. Setiap tahun, kerajaan akan mengadakan promosi Tahun Melawat Malaysia. Tujuan ini adalah untuk menarik lebih ramai minat pelancong disamping mempromosikan Malaysia di mata dunia. Malaysia bukan sahaja mempromosikan tempat percutian yang menarik, tetapi juga budaya dan masyarakat yang berbilang kaum.

Bagi rakyat Malaysia, mereka digalakkan untuk bercuti di Negara sendiri. Ianya bukan sahaja menjimatkan, malahan juga tahap keselamatan adalah terjamin. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak pelancongan untuk menarik minat para pelancong tempatan dan luar Negara untuk berkunjung ke destinasi mereka. Antara memberikan servis yang bagus, tawaran harga yang memuaskan, kemudahan yang lengkap serta beberapa tawaran yang menakjubkan. Terdapat juga promosi yang diadakan oleh pihak pentadbiran negeri untuk menarik minat pelancong ke Negeri mereka seperti usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri Melaka.

Selain itu, bagi memastikan Malaysia terus menjadi tumpuan sebagai destinasi pilihan untuk pelancong luar dan dalam Negara, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif untuk menjaga khazanah sedia ada yang mampu menarik minat pelancong. Antaranya khazanah laut, hutan dan juga beberapa spesis haiwan yang terancam. Penjagaan dan pemuliharaan adalah perlu bagi memastikan ianya tidak pupus dan terancam. Dengan kerjasama pihak kerajaan dan juga agensi-agensi yang terbabit, pelbagai uasaha telah dilakukan. Antara nya mewartakan beberapa tempat sebagai kawasan larangan bagi memastikan kawasan terbabit tidak diganggu dan ancaman terhadapan hidupan itu tidak terancam.

Selain terkenal dengan tempat percutian yang menarik, Malaysia turut dikenali sebagai Negara yang terkenal dengan adat dan budayanya yang tinggi. Adat dan budaya ini terus dipelihara bagi memastikan ianya tidak pupus ditelan zaman. Kayanya adat dan budaya di Negara ini telah mendapat perhatian pihak luar yang sememangnya kagum dengan keunikan budaya di Malaysia. Ada juga pihak dari luar yang berminat mengadakan program seperti lawatan sambil belajar ke Malaysia bagi melihat sendiri keunikan budaya dan adat di Malaysia. Selain itu, program seperti pertukaran pelajar luar ke Malaysia turut memperlihatkan betapa kagumnya mereka dengan adat dan budaya yang kita sanjung selama ini.

Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Antaranya Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, dan sebagainya. Walaupun berbeza kaum dan budaya, tetapi rakyatnya masih boleh bersatu dan hidup dengan aman tanpa sebarang sengketa. Nilai-nilai murni dan saling menghormati masih menebal dalam diri setiap rakyat. Hal ini kerana ianya telah dipupuk dan diserap dalam diri seseorang itu sejak mereka kecil lagi. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa rakyatnya boleh bersatu dalam apa jua situasi sekali pun.

Kekayaan Malaysia turut di pandang dari segi adat dan budaya yang masih menebal dalam diri para penduduknya. Adat dan budaya yang mulia masih terus diamalkan walaupun Malaysia turut membangun sejajar dengan perkembangan arus semasa. Masih terdapat rakyat dan kaum yang masih menebal lagi adat dan budaya dalam jati diri mereka. Antara adat yang yang dikagumi oleh para pelancong luar ialah adat perkahwinan. Adat ini bukan sahaja meriah kerana dihadiri oleh ramai orang, tetapi juga masih mengamalkan unsur-unsur seperti merisik, meminang dan juga adapt bersanding bagi meraikan tetamu. Selain itu, kerjasama dan semangat bersatu menguruskan majlis perkahwinan ini turut membuka mata pelancong luar bahawa penduduk di Negara ini masih menebal semangat kejiranannya walaupun adakalanya mereka dimomokkan dengan keburukan yang ada di Negara ini seperti meningginya kes ragut dan jenayah.

Bagi pelancong yang pernah hadir ke Malaysia, mereka pasti akan tersenyum apabila membicarakan mengenai keistimewaan Malaysia kepada teman-teman di Negara asal. Selain terhibur dengan percutian yang mengasyikkan dan dilayan bagaikan raja, mereka turut dapat mengenali Malaysia dengan lebih mendalam. Percutian yang singkat akan membuatkan mereka sedih untuk meninggalkan Malaysia. Namun yang pasti, tidak kira siapa pun yang memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan, pasti akan terhibur.

Bagi memastikan Malaysia terus mendapat tempat dan perhatian di mata dunia sebagai salah satu destinasi percutian di Malaysia, pihak kerajaan haruslah mengambil langkah-langkah yang wajar agar sektor pelancongan di Malaysia terus gah dan setanding dengan sektor pelancongan diluar Negara. Kekayaan bumi Malaysia bukan sahaja harus dipelihara, tetapi juga dijaga rapi agar tidak luput ditelan zaman. Begitu juga dengan adat dan budaya nya. Kerjasama semua pihak adalah perlu bagi memastikan sektor pelancongan terus maju dan turut menyumbang kepada pendapatan Negara.

Justeru itu, marilah kita semua bersatu mengekalkan kakayaan bumi Malaysia dan menjaga adat budaya yang terkenal ini tanpa mengira bangsa dan kaum. Sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan, kita haruslah bersatu dan terus mengamalkan sikap bersatu dan terus memupuk semangat saling bersatu dalam usaha menjadikan Malaysia Negara yang terkenal dalam sektor pelancongan dan destinasi percutian terbaik dunia.

Tuesday, February 17, 2009

Menyusuri Kehidupan Masyarakat Baba dan Nyonya






Melaka sememangnya mempunyai sejarah dan keunikannya yang tersendiri. Antaranya adalah kewujudan mayarakat Baba dan Nyonya. Menurut pembacaan saya melaui internet dan buku berkaitan Negeri Melaka (http://www.utusan.com.my, http://ms.wikipedia.org/wiki/Makanan_Baba_Nyonya dan juga buku Masyarakat dan Budaya Negeri Melaka, masyarakat Baba dan Nyonya dikatakan berasal dari Tanah Besar China yang berhijrah ke Melaka sejak 600 tahun dahulu. Pada awalnya, masyarakat ini hanya terdapat di Melaka sahaja. Namun begitu, setelah Pulau Pinang dan Singapura mula berkembang, masyarakat Baba dan Nyonya mula berhijrah kedua-dua negeri ini.

Menurut sejarah, perkembangan masyarakat ini di Melaka bermula sewaktu berkembangnya zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan pada waktu itu telah berjaya menarik ramai pedagang dari luar temasuk dari China untuk berdagang di Melaka. Pedagang-pedagang dari China ini berkahwin dengan wanita tempatan dan melahirkan anak yang berdarah kacukan Melayu-Cina atau lebih dikenali sebagai Baba Nyonya. Disebabkan inilah kaum Baba dan Nyonya mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya. Kebanyakan Masyarakat ini masih mengamalkan agama anutan nenek moyang mereka iaitu agama Buddha dan terdapat juga yang telah menukar agama ke Agama Islam dan juga Kristian.

Dalam meniti kehidupan seharian mereka, masyarakat ini masih mengenakan pakaian tradisi mereka iaitu berkebaya pendek atau lebih dikenali sebagai kebaya nyonya dan bagi kaum lelaki pula, mereka akan mengenakan kain sarung. Amalan memakai sanggul masih lagi diamalkan bagi kaum wanita. Menurut sejarah, amalan ini merupakan satu simbolik atau lambang pengabdian mereka kepada kerajaan Manchu (zaman sebelum penghijrahan ke Tanah Melayu). Dari segi makanan pula, tiada bezanya dengan kaum Melayu. Cara masakan Baba Nyonya juga dipengaruhi resipi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.

Menurut Siti Norain Marzuki,23, percutiannya ke Melaka amat menghiburkan dan beliau mula mengenali Masyarakat Baba Nyonya secara lebih mendalam.

“ Sebelum ini memang saya tahu kewujudan masyarakat ini, tapi tidak secara terperinci. Apabila berpeluang melawat Melaka dan kawasan perkampungan mereka, barulah saya faham”.

Tambahnya lagi, beliau agak teruja dengan gaya hidup masyarakat Baba dan Nyonya yang agak unik. Hal ini kerana, mereka seperti orang Melayu dari segi percakapan dan makanan nya tetapi mirip muka seperti orang Cina

Sepanjang tiga hari beliau disana, beliau tidak melepaskan peluang menjelajahi keseluruhan perkampungan Baba dan Nyonya ini serta menambahkan lagi pengetahuannya mengenai Kota Melaka.

“ Saya harap dapat datang lagi kesini bersama keluarga. Saya terharu dengan keramahan masyarakat Baba Nyonya ini walaupun saya hanyalah orang luar dan baru mengenali mereka.”

“ Mereka sangat baik hati dan tidak lokek dengan senyuman. Paling terharu, mereka memberi saya dan rakan-rakan peluang untuk merasai makanan masakan mereka” tambah pelajar tahun akhir jurusan Sastera, Universiti Putra Malaysia ini.

Berdasarkan kepada maklumat yang saya peroleh dari internet, buku dan juga temuramah ini, apa yang dapat saya perhatikan ialah keunikan masyarakat yang dikatakan mempunyai dua identiti ini ( Melayu dan Cina ) sememangnya tidak dapat disangkal. Kewujudan kaum ini bukan sahaja mewarnai dan melambangkan bahawa Malaysia mempunyai kaum yang pelbagai, malahan wajar dijadikan contoh kepada negara-negara lain bahawa pentingnya untuk hidup bersatu padu tanpa membezakan kaum dan agama.

Keramahan yang ditonjolkan oleh masyarakat Baba Nyonya ini memperlihatkan bahawa mereka juga mempunyai nila-nilai ketimuran yang kaya dengan adat dan budi bahasa walaupun mereka bukanlah penduduk asal negeri Melaka.

Justeru itu, kerajaan Negeri Melaka seharusnya mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan kaum Baba Nyonya ini terus hilang dari identitinya. Hal ini kerana,peredaran masa telah membuatkan kaum ini menigikuti perkembangan terkini dalam berpakaian serta mengamalkan gaya hidup yang lebih moden atau 'up to date'

Tuesday, February 10, 2009

Perkampungan Baba dan Nyonya di Melaka

Puas saya mencari idea untuk menulis pada kali ini. kebetulan saya berjumpa dengan teman-teman di UPM..Ada diantara mereka yang dah pernah ke Melaka .saya tidak melepaskan peluang untuk menemuramah mereka..
Sebelum itu, saya mahu menceritakan terlebih dahulu mengenai Perkampungan Baba dan Nyonya ini.Perkampungan Baba dan Nyonya ini merupakan salah satu penempatan yang mempunyai nilainya yang tersendiri di Melaka. Bandar ini pada awalnya didiami oleh kaum cina berdarah campuran Melayu sahaja. DiSebabkan itulah kawasan ini digelar Perkampungan Baba dan nyonya. Walaupun masa terus beredar sejajar dengan peredaran masa, kawasan ini masih mengekalkan ciri-ciri kecinaannya. Contoh ini dapat dilihat pada seni ukir yang terdapat pada setiap bangunan dan reka bentuk bangunan yang ada di sekitar Bandar ini.
Tidak ketinggalan juga, di perkampungan ini masih terdapat rumah dan juga rumah tumpangan yang masih menggunakan konsep Baba dan Nyonya. Baba dan Nyonya tidak asing lagi di Negeri Melaka ini. selain itu, jika anda berkesempatan untuk mengunjungi Bandar Cina ini, jangan lupa untuk pusing ke seluruh Bandar ini ya..
Menurut rakan saya iaitu Aisyah Yusuf,23, beliau sangat tertarik dengan Bandar ini. tempatnya bukan sahaja menarik, malah beliau merasakan seolah-olah berada di Negeri China. Konsep dan bangunannya tidak berubah. “ Sewaktu berada di Melaka semua tempat saya pergi. Habis saya jelajah Perkampungan ini. Jika ada peluang, saya nak pergi lagi bersama dengan keluarga”.
Tambah beliau lagi, pemergian nya ke Melaka bersama rakan-rakannya adalah untuk makan angin dan melepaskan tekanan setelah menduduki peperiksaan hujung semester.
Setakat ini sahaja dahulu untuk kali ini. sekiranya ada lagi informasi mengenai Bandar Cina ini nanti, saya akan mengusulkannya pada tulisan akan datang…tata..

Pengenalan awal Negeri Melaka

Sebagai permulaan pada penulisan blog ini, saya akan menceritakan serba sedikit mengenai Negeri Melaka. Pada awalnya, Melaka mendapat nama sempena nama sebatang pokok (malakat) yang menjadi tempat perteduhan Parameswara dan pengikutnya. Sewaktu berteduh, baginda telah menyaksikan satu kejadian pelik dimana berlakunya pertarungan pelik diantara pelanduk dan anjing. Parameswara melihat kejadian ini sebagai satu petanda bahawa kawasan itu akan menjadi satu kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebuah negeri. Justeru itu, nama pokok itu diguna pakai sebagai simbolik disebalik kejadian yang telah disaksikan oleh baginda.
Mengikut beberapa sumber, Parameswara merupakan keturunan Raden Wijaya yang merupakan pengasas kerajaan majapahit. Setelah Melaka ditubuhkan, ianya telah menjadi sebuah negeri yang maju dari segi ekonominya. Banyak pedagang asing mula datang ke Melaka untuk berdagang. Di bawah pemerintahan Majapahit, Melaka mencapai kegemilangannya sehinggalah Melaka berjaya di tawan oleh portugis pada tahun 1511 dibawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah.
Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Melaka, sudah tentu anda dapat merasakan betapa indahnya negeri ini. Melaka mempunyai beberapa tempat bersejarah dan tempat-tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat beriadah bersama seisi keluarga..Antara tempat yang menarik untuk dikunjungi ialah A Famosa, Dataran Pahlawan, Bangunan Stadthuys, Muzium Samudera dan Kapal Flor De La Mar, Perkuburan Belanda, Muzium Budaya, Muzium Tuan Yang Terutama, Masjid Tengkera, Masjid Kampong Keling, Masjid Kampong Hulu, Jonker Walk, Ayer Keroh, bukit Cina dan lain-lain lagi..
Berdasarkan serba sedikit informasi ini, adalah diharap dapat membantu rakan-rakan diluar sana untuk mendapatkan serba sedikit mengenai Melaka..Pada tulisan akan datang, saya akan mencerita kan mengenai beberapa tempat menarik di sekitar Melaka..Jumpa lagi..